MELAKA – Guru besar lelaki sebuah rendah berhampiran pusat bandar di sini disyaki mencabul seorang murid lelaki berusia 12 tahun di dalam tandas sekolah dan pejabatnya sejak Jun lalu.
Perbuatan keji suspek berusia 55 tahun itu terbongkar selepas mangsa, pelajar Tahun 6 menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum wanita berkenaan membawa anaknya itu membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah semalam.
Menurut sumber, anak sulung daripada tiga beradik itu mendakwa kejadian berlaku pada jam 8 pagi 29 Julai lalu ketika dia bersama dua rakannya pergi ke tandas sekolah sebelum suspek memasuki tandas.
“Suspek kemudian dikatakan meminta rakan mangsa balik ke kelas tanpa menyedari seorang lagi rakannya berada di dalam tandas sebelum memeluk kanak-kanak itu dari belakang sambil memegang punggungnya dan berbisik “I love you”.
“Guru besar terbabit memaksa mangsa membalasnya menyebabkan murid itu terpaksa menjawab “I love you too” dalam keadaan ketakutan,” katanya.
Pengadu mendakwa, kejadian sama pernah berlaku pada Jun lalu ketika dia dan rakannya pergi ke pejabat suspek selepas diminta membantu meletakkan klip pada sijil.
“Secara tiba-tiba suspek memeluk, meraba punggung, dada dan kemaluan pengadu sambil disaksikan rakannya itu namun tidak menceritakan kejadian itu kepada ibunya kerana takut dimarahi.
“Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan akhirnya terpaksa meluahkannya kerana tidak tahan dengan gangguan seksual yang dilakukan guru besar berkenaan,” tambahnya.
Sumber berkata, polis telah merakamkan keterangan saksi kes dan melakukan siasatan tempat kejadian sebelum menahan suspek. – MalaysiaGazette
















