Salah seorang pelajar orang asli menerima komputer riba sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia peringkat negeri Pahang di Perkampungan Bukit Serok, Muadzam Shah, Rompin hari ini.

ROMPIN – Pemberian komputer riba secara automatik akan diberikan kepada pelajar Orang Asli di Pahang yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2025 yang diadakan di Perkampungan RPS Bukit Serok, Muadzam Shah di sini hari ini.

Sebelum ini, pemberian komputer riba diberikan selepas permohonan dibuat bagi golongan itu  yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Kolej Komuniti dan Politeknik.

“Sekarang mereka tidak perlu lagi memikirkan untuk membeli laptop. Kita akan tengok senarai pelajar yang dapat masuk ke IPTA dan kita akan beri.

“Ini istimewa sempena Hari Orang Asli Sedunia hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Tambah Wan Rosdy, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli kerana ia merupakan platform yang mampu mengubah masa hadapan ke arah yang lebih baik.

Sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2025 hari ini, beliau turut menyampaikan komputer riba kepada seramai 22 orang pelajar orang asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Dalam majlis yang dihadiri hampir 3,000 pengunjung itu, Wan Rosdy juga menyampaikan Sijil & Plak Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada 12 penerima orang asli bagi daerah Rompin.

Beliau turut menyampaikan Insentif Kepimpinan Masyarakat Orang Asli kepada seramai 400 orang sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin akar umbi yang banyak berbakti.

“Sambutan Hari Orang Asli Sedunia yang kita sambut pada hari ini bukan sekadar acara tahunan malah lebih daripada itu. Ia adalah lambang pengiktirafan dan penghormatan kepada masyarakat Orang Asli sebagai rakan pembangunan negeri ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast