Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua lelaki dipercayai terlibat dalam serangan bersenjata mencederakan dua mangsa di hadapan sebuah pusat hiburan di ibu negara awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.15 pagi itu, kedua-dua suspek bersenjatakan parang dan besi dilaporkan menyerang mangsa berusia 33 dan 47 tahun selepas berlaku pertengkaran mulut di kawasan jalan raya berhampiran premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, serangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa cedera dan terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati seorang suspek pada mulanya bertelagah dengan salah seorang mangsa sebelum rakannya datang dan terus melibas menggunakan parang serta memukul dengan besi,” katanya hari ini.

Menurut Ku Mashariman, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu melarikan diri sejurus insiden namun polis telah merampas beberapa barang kes di lokasi bagi membantu siasatan.

Polis menasihati suspek untuk menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast