KUALA LUMPUR – Proses menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bermula hari ini susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi melengkapkan siasatan berhubung kematiannya bulan lalu.
Penggalian kubur Zara Qairina dimulakan petang tadi di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, Sipitang, Sabah itu disaksikan lebih 100 ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat.
Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan memasuki tanah perkuburan dan kawasan itu dikawal ketat pihak berkuasa.
Beberapa kenderaan terutamamya unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula memasuki pekarangan tanah perkuburan sejak pukul 4 petang tadi bagi proses tersebut.
Pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dilihat memasuki tapak perkuburan pukul 5.25 petang tadi.
Proses penggalian kubur itu juga disaksikan oleh Majistret, dua Pendakwa Raya, ibu Zara Qairina, peguam, Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Untuk rekod, Jabatan Peguam Negara sebelum ini mengarahkan proses itu dilakukan bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan, selepas mangsa dipercayai terjatuh dari bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar pada 16 Julai lalu.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama kira-kira pukul 4 pagi sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan unsur buli menjadi punca kejadian.
Proses itu dijalankan dengan kerjasama polis, Jabatan Forensik dan pihak hospital dan dijangka mengambil masa beberapa jam sebelum mayat dibawa untuk pemeriksaan lanjut.
Kes berkenaan menarik perhatian umum serta mendapat desakan pelbagai pihak termasuk Pergerakan Pemuda UMNO yang menuntut siasatan telus dan adil demi memastikan keadilan untuk arwah. – MalaysiaGazette
















