Afnan Hamimi Taib Azamudden (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang berpendapat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sepatutnya mengambil alih jawatan Menteri Pendidikan ekoran dakwaan Fadhlina Sidek gagal menangani isu buli di sekolah ketika ini.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia  kerana Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu terbukti lebih berkesan untuk memegang jawatan itu kerana kemampuan yang tegas membanteras kes buli sebelum ini.

“Enam pelajar (yang terlibat dalam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara) telah dibuang sekolah serta-merta. Saya rasa dia patut jadi Menteri Pendidikan.

“Satu-satunya masalah ialah dia (Asyraf Wajdi) belum menang (kerusi Parlimen). Saya berdoa supaya dia menang dalam pilihan raya akan datang supaya dapat menggantikan Menteri Pendidikan sedia ada,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir ialah Adun Lantikan dari Pas Sabah, Aliakbar Gulasan.

Baru-baru ini, Asyraf Wajdi mendedahkan ada ibu bapa yang anak mereka dibuang dari Maktab Rendah Sains Mara kerana kes buli mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya dan agensi itu.

Beliau berkata, tindakan itu kerana keputusan tegasnya menyingkirkan pelajar yang terbabit dalam salah laku disiplin serius khususnya membabitkan perbuatan buli.

Antara mereka ialah enam pelajar dari sebuah MRSM di Melaka.

Selain itu pelajar MRSM Besut di Terengganu juga dibuang pada Jun lalu selepas membuli secara fizikal seorang pelajar berusia 14 tahun, manakala pada April, sebuah MRSM di Pulau Pinang membuang tujuh pelajar kerana sebab yang sama.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi menegaskan,  kes Allahyarham Zaira Qairina Mahathir di Papar, Sabah merupakan isu kemanusiaan yang dekat di hati masyarakat dan kes kematiannya itu tidak perlu dipolitikkan.

Namun, jelas beliau, prosedur siasatan yang tidak betul menyebabkan kes pelajar tingkatan satu itu telah mencetuskan spekulasi dalam kalangan masyarakat di media sosial.

Katanya, tiada penjelasan mengapa bedah siasat tidak dilakukan ke atas mayat remaja itu sejurus selepas kematiannya dan tindakan polis tidak menahan suspek dalam kes tersebut walaupun dilaporkan telah menyoal kira-kira 60 saksi.

“Kalau belum fikir bagaimana Kementerian Pendidikan akan menangani isu ini, kami ada beberapa cadangan. Antaranya menggubal akta antibuli dan menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet untuk menangani isu buli,” ujarnya.

Sementara itu, Afnan Hamimi memaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul yang dikemukakannya minggu lalu untuk membahaskan isu berkaitan kematian Allahyarham Zara Qairina.

Ujarnya, Johari memaklumkan kementerian-kementerian berkaitan akan menjawab kes tersebut dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 yang dijadualkan minggu depan.

“Saya tidak selesa kalau usul ini tidak dibenarkan kerana kementerian hanya mempunyai masa terhad untuk ucapan penggulungan dan banyak isu lain yang perlu mereka tumpukan,” katanya.

Afnan Hamimi yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat turut menggesa supaya diadakan sesi penjelasan khas menteri mengenai kes tersebut sambil menegaskan, banyak persoalan penting mengenai kematian Zara Qairina dan cara pihak berkuasa mengendalikan kes itu belum terjawab.

Malam Jumaat lalu, ribuan orang berkumpul di beberapa bandar di Sabah menuntut keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina selepas kematiannya bulan lalu mencetuskan kemarahan berhubung kes buli di sekolah.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kenapa Asyraf? U tak boleh jd Menteri Pendidikan? Ohh lupa kes kematian pelajar YIK pun tak settle2

Comments are closed.