JOHOR BAHRU – Tindakan bukan sahaja perlu dikenakan terhadap pemilik stesen minyak yang membenarkan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi minyak RON95 bersubsidi di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, kerajaan negeri telah mencadangkan agar kerajaan Persekutuan sejak empat bulan lalu.
“Kerajaan negeri mencadangkan agar kerajaan Persekutuan menambah baik peraturan sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing yang mengisi minyak RON95 bersubsidi.
“Ketika ini peraturan sedia ada mengenakan hukuman terhadap pemilik stesen minyak sahaja.
“Di peringkat kerajaan negeri Johor kita akan terus mencadangkan kepada kerajaan Pusat supaya penguatkuasaan boleh dibuat terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara dan yang mengisi minyak petrol bersubsidi iaitu pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing.
“Sekarang tindakan hanya boleh dikenakan terhadap pemilik stesen minyak. Tapi kita memang cadangkan peraturan ditambah baik supaya ada bidang kuasa kepada penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk ambil tindakan kepada pemilik kenderaan asing ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran aplikasi mobil sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di Pasaraya Maslee B5, di sini, hari ini.
Katanya, pada minggu lalu terdapat dua kes baharu membabitkan kenderaan bernombor pendaftaran asing dikesan mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di Nusa Sentral, Iskandar Puteri dan di stesen minyak di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).
Ujarnya, pihak KPDN Johor sudah menjalankan siasatan awal termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit.
“Kita akan meneruskan siasatan lanjutan sebelum membawa kes ini kepada pihak pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya.
Isnin lalu, tular dalam media sosial gambar seorang pemilik kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura dilihat sedang mengisi RON95 dalam sebuah botol plastik besar di sebuah stesen minyak didakwa di Nusa Sentral, Iskandar Puteri.
Pemilik kenderaan berkenaan turut didakwa mengisi RON95 ke kenderaannya dahulu sebelum dilihat mengisi petrol sama ke dalam botol plastik besar.
Selang empat hari, tular pula gambar seorang lelaki mengisi petrol RON95 ke dalam kereta bernombor pendaftaran republik itu yang dipercayai di sebuah stesen minyak di Lebuhraya SDE.- MalaysiaGazette
















