Xisco Munoz.

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) seakan mendapat suntikan baharu selepas berjaya mengekalkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Jumaat lalu untuk berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.

Justeru, Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz mahu semua anak buahnya untuk mengekalkan rentak kemenangan lebih-lebih lagi ketika bermain di laman sendiri.

“Pada masa sama skuad Harimau Selatan tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan setelah skuad kendalian Nidzam Jamil itu turut diperkuat dengan kehadiran pemain baharu.

“Pada aksi pembukaan minggu lalu, saya berpuas hati dengan persembahan bertenaga dipamerkan pemain, mereka berjaya mencari peluang gol dan menguasai permainan dengan baik.

“Ini adalah permulaan yang baik dan berharap pemain dapat mengekalkan rentak permainan yang seimbang itu. Walaupun berdepan dengan tekanan, mereka dapat atasinya.

“Saya lihat pasukan ini berpotensi untuk menjadi lebih baik dan kita akan bekerja keras ke arah itu. Pasukan akan terus menjanjikan aksi yang memukau pada perlawanan seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Menurut pengendali kelahiran Sepanyol itu, pasukan juga akan memperkemas lagi taktikal situasi bola mati yang boleh menjadi penyumbang jaringan dalam perlawanan.

Selain itu, katanya, pemain juga akan memberi tumpuan untuk meningkatkan keserasian melibatkan pemain baharu selain memantapkan corak permainan berintensiti tinggi yang menjadi falsafah JDT.

Pengendali berusia 44 tahun itu tidak menolak untuk melakukan penggiliran pemain setelah semua 34 pemain Harimau Selatan bersiap sedia untuk dimasukkan dalam kesebelasan utama.

“Saya terkilan juga apabila melihat pemain yang tak dapat diturunkan setelah memberi komitmen tinggi menjelang perlawanan itu, jadi kita akan membuat penggiliran supaya semua ada peluang untuk beraksi,” ujarnya.

Ditanya mengenai kecederaan dialami Samu Castillejo, beliau berkata, taraf kecergasan pemain itu akan dipantau rapi sama ada mampu diturunkan ketika menentang skuad Hoben Jang Hoben atau perlu direhatkan sehingga cergas sepenuhnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast