Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebagai satu kegagalan besar dalam sistem perlindungan pelajar di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali menganggap insiden itu sebagai kehilangan maruah terhadap sebuah sistem yang sepatutnya menjaga keselamatan anak bangsa.

“Sekolah bukan gelanggang untuk penderaan. Institusi pendidikan bukan medan pembunuhan karakter dan jasad. Sebarang cubaan melindungi pelaku atas dasar status atau hubungan adalah  satu bentuk pengkhianatan kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Ibrahim menegaskan, Putra tidak akan berdiam diri dan akan terus menjadi suara rakyat dalam mendesak keadilan ditegakkan sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan politik.

“Saya mahu ingatkan pihak berkuasa keadilan yang lambat itu adalah keadilan yang mati. Jangan cuba main wayang, jangan cuba perlahankan siasatan dan jangan sesekali fikir rakyat akan lupa,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Putra mendesak agar tindakan segera diambil tanpa pilih kasih ke atas pelaku, pembantu pelaku atau sesiapa sahaja yang menyembunyikan bukti.

Turut perlu dilakukan, menurut beliau, pembaharuan total sistem asrama dan sekolah berasrama penuh bagi memastikan tragedi seperti ini tidak berulang.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ketua Penyelaras Putra Negeri Sabah, Jeffrus Maimin menyatakan rakyat kini sedang memerhati dan tidak teragak-agak untuk menjatuhkan mereka yang bersalah, bukan hanya di mahkamah tetapi juga di gelanggang politik.

“Kepada mereka yang berasa diri kebal kerana jawatan, wang atau nama keluarga, ingatlah, rakyat sedang memerhati,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast