Fadillah Yusof melihat replika selepas Mesyuarat Tahunan ASEANTOM ke-12, di Renaissance Hotel, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Malaysia sedia menimbang untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai satu daripada pilihan berpotensi untuk penjanaan elektrik yang bersih, stabil, dan kompetitif dalam campuran tenaga negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara tersebut sedang dinilai berikutan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada 31 Julai lalu.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, penilaian itu mengambil kira keperluan mempelbagaikan sumber tenaga, mengukuhkan keselamatan tenaga jangka panjang, menyokong sasaran pengurangan pelepasan karbon dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

“Ini sejajar dengan komitmen perubahan iklim negara serta peningkatan permintaan tenaga yang semakin berkembang.

“MyPOWER Corporation sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) diberi tanggungjawab menyelaras persediaan mengikut panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), membabitkan kementerian, jabatan, dan agensi bagi memastikan pendekatan nasional yang bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan ASEANTOM ke-12, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Mesyuarat Tahunan ASEANTOM ke-12 berlangsung selama lima hari bermula hari ini sehingga Jumaat yang menghimpunkan ahli ASEANTOM, pemerhati, wakil IAEA selain rakan dialog ASEAN.

Sementara itu, Fadillah berkata, Malaysia turut menegaskan komitmennya terhadap Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Beliau turut menggesa negara pemilik senjata nuklear menandatangani dan meratifikasi protokol berkenaan tanpa berlengah.

“Kerjasama melalui ASEANTOM, bukan sekadar teknikal tetapi bersifat strategik untuk memastikan tenaga atom menyumbang kepada pembangunan mampan, kestabilan serantau, dan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

Selain itu Fadillah melancarkan Stesen Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) untuk dipasang di perairan negara bagi memperkukuh kemampuan negara memantau tahap radiasi dalam sumber air.

Tambahnya, teknologi baharu itu membolehkan pengesanan proaktif dan tindakan pantas terhadap sebarang ancaman radiologi, sekali gus melindungi komuniti dan generasi akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast