Naazron Abdul Yusof.

KAJANG – Seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai sesak nafas ketika menyertai acara berbasikal di Lebuhraya Ekspres Lingkaran Tengah (EKVE) semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam daripada pihak Hospital Ampang.

Siasatan awal mendapati mangsa sedang menyertai satu acara berbasikal sejauh 50 kilometer dan mengalami sesak nafas semasa melalui kilometer 13 lebuh raya tersebut.

“Mangsa dipercayai terjatuh ke atas jalan dan tidak sedarkan diri. Rawatan awal telah diberikan di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Ampang.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Naazron, pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian lelaki itu.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Mohd Nasyran Ab Wahab yang juga Ketua Polis Balai atut 14, Hulu Langat di talian 03-9021 2222.

Sementara itu, polis menasihatkan orang ramai yang ingin menyertai sebarang aktiviti sukan agar memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik sebelum mengambil bahagian bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan atau masalah kesihatan yang lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast