Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa Kemboja bertindak segera bagi menyelamatkan dua rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di negara itu dan kini hilang tanpa khabar berita.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa pertama merupakan lelaki berusia 25 tahun yang identitinya dirahsiakan, manakala seorang lagi dikenali sebagai Chin, 35 tahun.

Dakwanya, kedua-dua mereka dipercayai berada dalam keadaan bahaya selepas gagal dihubungi oleh keluarga masing-masing sejak beberapa hari lalu.

Menurut beliau, mangsa pertama sebelum ini bekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat di Kuala Lumpur berlepas ke Kemboja pada 8 Julai lalu selepas menerima tawaran kerja sebagai pegawai khidmat pelanggan.

Tawaran tersebut kelihatan sah pada awalnya, namun keluarga mangsa tidak menyedari risiko sindiket pemerdagangan manusia di negara berkenaan, ujarnya.

Keluarga mangsa hanya mengetahui tentang wujudnya sindiket itu seminggu selepas anaknya berangkat ke Kemboja.

“Kita dimaklumkan oleh keluarga, mangsa sempat menghubungi keluarga selepas tiba di Kemboja dan memaklumkan dia berada dalam keadaan selamat.

“Namun, panggilan seterusnya membawa nada cemas apabila anaknya merayu untuk dibawa pulang selepas mendakwa dipaksa bekerja lebih masa, didera secara fizikal dan dikenakan pelbagai denda oleh sindiket,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas sidang media, hari ini.

Manakala Hishamuddin mendedahkan, kes kedua pula melibatkan Chin yang pada awalnya berlepas ke Dubai pada 15 Mac lalu untuk bekerja sebagai pembantu restoran.

Bagaimanapun, keluarganya terkejut apabila mendapat maklumat bahawa dia kini berada di Kemboja, dipercayai dipindahkan oleh sindiket tanpa pengetahuan atau kebenarannya.

MHO menegaskan bahawa kedua-dua kes ini memerlukan tindakan segera daripada pihak berkuasa Malaysia dan Kemboja.

“Masa adalah musuh dalam kes seperti ini. Setiap hari kelewatan boleh membawa risiko nyawa. Kita akan terus pantau dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Phnom Penh untuk mempercepatkan proses penyelamatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin menyeru mana-mana mangsa yang tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan supaya menghubungi MHO melalui saluran media sosial rasmi pertubuhan itu.

Beliau turut menegaskan pendirian MHO bahawa tiada sebarang bayaran tebusan akan dibuat kepada sindiket, sebaliknya pihaknya bergantung kepada kerjasama penuh pihak berkuasa Kemboja dan kedutaan Malaysia dalam setiap misi penyelamatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast