MELAKA – Seorang pengait sawit berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan mencederakan bekas kekasihnya, awal bulan ini.
Tertuduh, R. Thanabalan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada bekas kekasihnya, 27, kira-kira pukul 10.30 pagi 2 Ogos lalu di hentian rehat pintu gerbang Ayer Keroh.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun berkali-kali merayu ihsan mahkamah supaya membenarkannya dibebaskan tanpa wang jaminan dengan alasan hanya bekerja sebagai pengait sawit, manakala ibunya merupakan orang kurang upaya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan tarikh 8 September ini sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















