KULAI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap dua ekor gajah liar di Kampung Sawah, Sedenak, di sini, semalam menerusi Operasi Bersepadu Translokasi Gajah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, dua gajah jantan dewasa itu ditangkap pada pukul 10.30 pagi manakala seekor lagi ditangkap lima minit kemudian.
“Gajah pertama mempunyai saiz tapak kaki 12 inci dan seekor lagi 13 inci. Kedua-duanya sudah siap diikat. Tangkapan ini dibuat susulan operasi yang dijalankan bermula pada 09 Ogos lalu.
“Operasi ini dilakukan di Kampung Air Manis, Kampung Sawah, Kampung Desa Idaman, Kampung Bukit Batu, Kampung Sri Sempurna, Kampung Bukit Nyamuk, Kampung Pinggir, Ladang Air Manis dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, gajah yang ditangkap itu merupakan sebahagian daripada pecahan kumpulan utama ID Tenggara yang sebelum ini tular memasuki kawasan sekitar Kampung Air Manis, Sedenak, Simpang Renggam dan sempadan Pontian.
Jelasnya, kumpulan gajah itu juga sering mendatangkan konflik di sekitar kawasan landasan kereta api Mengkibol dan Lebuh Raya Utara Selatan beberapa minggu lalu.
“Kumpulan gajah ini ditangkap atas faktor keselamatan pengguna jalan raya dan kereta api disekitar kawasan konflik.
“Pihak Perhilitan Johor akan terus memantau keadaan gajah ini sehingga proses dan pemindahan ke habitat yang lebih sesuai selesai dijalankan,” katanya.
Pada 14 Julai lalu Perhilitan Johor memaklumkan akan melaksana operasi tersebut secara besar-besaran membabitkan 25 gajah bermula bulan ini hingga Julai tahun depan.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, langkah strategik itu bagi menangani isu konflik gajah dan manusia secara menyeluruh dan berkesan, dengan Johor menjadi negeri pertama lokasi operasi berkenaan.
“Selain itu, ia bertujuan memulihkan ekosistem melalui kawalan populasi di luar habitat asal dan pengumpulan data saintifik untuk penambahbaikan dasar pengurusan gajah liar,” ujar Abdul Kadir.- MalaysiaGazette
















