Fadillah dan Lih Kang menyampaikan cenderamata selepas Mesyuarat Tahunan ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy (ASEANTOM) ke-12, di Renaissance Hotel, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan merancang menambah empat lagi unit Stesen Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) di Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan Bintulu dalam tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pemasangan itu akan dilakukan selepas pemasangan pertama sistem itu dilakukan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Peranti tersebut berfungsi mengesan serta memantau, tahap radiasi gamma dalam sumber air bagi tujuan keselamatan dan penyelidikan.

“Peranti ini boleh mengawal radiasi atau tahap radiasi dalam air dan ia bukan sahaja dipasang di Malaysia, tetapi di seluruh ASEAN juga.

“Jadi kita akan dapat mengesan awal sekiranya mana-mana bahagian di rantau ini terdapat bacaan yang abnormal, kita boleh tahu sebab semua sistem kita terhubung.

“Peranti di UMS Sabah telah dipasang, manakala lagi empat akan dipasang dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Tahunan ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy (ASEANTOM) ke-12, di Renaissance Hotel, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sementara itu, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama dengan rakan serantau, khususnya negara anggota ASEAN, dalam aspek keselamatan, sekuriti dan perlindungan tenaga atom.

“Walaupun kita belum melaksanakan penjanaan kuasa nuklear, perkembangan di rantau ini menunjukkan semua negara sedang meneroka potensi tenaga tersebut.

“Bukan sahaja untuk penjanaan elektrik, tetapi juga sektor-sektor lain yang menggunakan bahan radioaktif yang perlu dikawal selia. Oleh itu, penting untuk kita memperkukuh kerjasama dalam rangka kerja peraturan tenaga atom,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast