Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Seramai 27 penjawat awam berdepan tindakan tatatertib tahun lalu kerana membuat kenyataan awam termasuk mengkritik dasar kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kes itu direkodkan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tahun 2024.

“Seseorang penjawat awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.

“(Melalui) surat Aku Janji tersebut, setiap pegawai awam bertanggungjawab untuk mematuhi segala peraturan, termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen di sini hari ini,

Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai jumlah bilangan penjawat awam yang dikenakan tindakan disiplin kerana menyuarakan pandangan atau kritikan terhadap dasar-dasar kerajan dan apakah kerajaan akan menyemak semula garis panduan kebebasan bersuara dalam perkhidmatan awam

Zaliha menambah, kenyataan awam yang dibuat tanpa kawalan, terutamanya yang melibatkan ketepatan data, boleh menyebabkan kegelisahan awam yang tidak wajar.

“Setakat ini, kerajaan berpandangan peraturan sedia ada wajar dikekalkan bagi memastikan pegawai awam sentiasa menjaga tatakelakuan seperti yang ditetapkan,” katanya.

Penjawat awam didapati bersalah atas tindakan risiko salah laku termasuk amaran rasmi, denda, sekatan gred, penurunan pangkat dan pemberhentian.

Bulan lalu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam untuk tidak menyertai acara himpunan Turun Anwar yang berlangsung di ibu negara

Beliau berkata tidak sewajarnya penjawat awam menyertai perhimpunan berkenaan kerana tindakan itu tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast