Penyanyi rap, Caprice Foto AFFAN FAUZI, 20 SEPTEMBER 2023. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Usahawan yang juga anak tiri Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Muhammad Asyraf Khalid memfailkan saman terhadap penyanyi rap, penulis lirik dan penerbit muzik, Caprice berkaitan 31 hantaran berbaur fitnah.

Muhammad Asyraf, 33, selaku plaintif memfailkan writ saman, pernyataan tuntutan dan permohonan injunksi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos lalu, menerusi firma guaman Tetuan Wan Shahrizal, Hari & Co.

Peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili plaintif memberitahu pemberita, saman itu menamakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 39, sebagai defendan.

Hantaran dalam Instagram itu yang menjadi pertikaian dalam kes saman berkenaan adalah mengenai video pra-penyiaran (teaser) yang akan diterbitkan menerusi akaun media sosial Audio Siar (poadcast) Muhammad Asyraf.

Abdul Hakiem berkata, saman fitnah itu didakwa merujuk kepada Muhammad Asyraf.

“Itulah fitnahnya. Kemudian, hantaran itu diterbitkan di platform defendan berkali-kali, lebih kurang 30 kali,” ujarnya.

Peguam itu berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Suzana Muhamad Said sepatutnya mendengar permohonan injunksi anak guamnya hari ini, bagaimanapun ia ditangguhkan kepada 18 Ogos yang akan didengar hakim lain berikutan Suzana akan berpindah ke Mahkamah Tinggi Georgetown.

Permohonan injunksi itu adalah bagi menghalang Caprice daripada menerbitkan atau mengulangi hantaran berbaur fitnah itu dan memaksa beliau memadamkannya daripada mana-mana platform serta merta, yang tidak terhad kepada platform Instagram sahaja.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa Muhammad Asyraf sedang menimbangkan tindakan undang-undang terhadap Caprice susulan kenyataan berbaur fitnah yang didakwa mencemarkan reputasi serta memberi gambaran salah terhadap dirinya.

Menurut Muhammad Asyraf, langkah itu bukan bermotifkan peribadi, sebaliknya dilakukan bagi memperbetulkan persepsi awam serta menjaga maruah keluarga dan reputasi perniagaannya yang terjejas.

Katanya, ia ekoran salah faham berhubung kenyataan yang dibuat oleh Caprice sebelum ini mengenai siaran sedutan episod terbaharu di podcast kelolaannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast