Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Pendang (PN), Datuk Awang Solahuddin Hashim menyatakan ‘mungkin Ahli Parlimen Jelutong terlibat dengan 13 Mei’.

Keadaan mula tegang apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoalkan tindakan Awang yang mengaitkan isu rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 dengan dakwaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mengetepikan kepentingan Bumiputera.

“Cuma satu perkara, saya cuma ingin tahu, bagaimana Pendang kata tidak terima surat (daripada Speaker untuk minta penjelasan)? Walhal saya yang telah mengusulkan surat itu telah menerima surat yang dihantar kepada beliau daripada Speaker?,” soal Rayer.

Namun Awang Solahuddin mencelah: “Saya ingat dia (Jelutong) ini terlibat dengan 13 Mei dulu sebab itu dia ‘kacau’ sangat tu Speaker,”.

Kenyataannya dibantah Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin (PH) yang menyifatkannya sebagai tuduhan yang keras.

Ahli Parlimen Pendang menarik balik kenyataanya setelah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta beliau berbuat demikian.

“Ya…Saya Tarik balik,” katanya.

Sebelum itu, Johari memaklumkan beliau telah menghantar surat kepada wakil rakyat tersebut bagi mendapatkan penjelasan kenyataannya sebelum ini mengenai sejarah rusuhan tersebut.

Namun ujarnya, sehingga kini Awang Solahuddin masih belum memberikan penjelasan.

“YB Jelutong telah masukkan usul, saya telah menulis kepada Pendang untuk mendapatkan respon daripada beliau. Saya sedang menunggu jawapan Pendang,” jelasnya.

Pada 4 Ogos lalu, Awang Solahuddin semasa mencelah ucapan perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu tidak memberi tumpuan kepada pembangunan untuk Bumiputera, sebaliknya memberi perhatian kepada perkampungan baharu Cina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast