KUALA LUMPUR – Pembangkang sedia membantu bapa kepada kanak-kanak perempuan yang didakwa dicabul pekerja warga Bangladesh di sebuah kedai serbaneka di Kajang, Selangor pada 27 Februari lalu.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Perikatan Nasional (PN) akan menawarkan khidmat guaman kepada bapa mangsa yang akan didakwa susulan video tindakannya terhadap lelaki warga asing berkenaan.
Menurut beliau, bapa mangsa akan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sedangkan katanya, pada masa sama pihak berkuasa mengklasifikasikan kes cabul anaknya sebagai tiada tindakan lanjut atau no further action (NFA).
“Ini menimbulkan tanda tanya kenapa pihak berkuasa meletakkan kes ini NFA. Tunggu benda ini meletus seluruh negara baru nak buat macam Almarhumah Zara Qairina (Mahathir). Jadi, kami minta pihak berwajib tampil ke depan dan memberi penjelasan.
“Bagi pihak PN kami bersedia membela akibat pertuduhan-pertuduhan yang saya sebutkan tadi,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermiyatie Samsudin.
Minggu lalu, polis memaklumkan sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun didakwa dicabul oleh seorang pekerja warga Bangladesh di sebuah kedai serbaneka di Kajang pada Februari lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, ia susulan pihaknya telah mengesan satu video tular dimuat naik semalam oleh pemilik akaun X @Negeri09 yang mendakwa berlaku kejadian gangguan seksual melibatkan kanak-kanak dan seorang lelaki dikasari.
“Semakan mendapati laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang merupakan bapa mangsa pada 12 Mac lepas, memaklumkan anaknya dicabul pada 27 Feb. Laporan dibuat selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarganya pada 11 Mac.
“Saksi kejadian masih dikesan bagi membantu siasatan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi,” menurutnya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sementara itu, peguam yang dilantik PN untuk mewakili bapa mangsa, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff menyoal tindakan pihak berkuasa yang tidak merakam keterangan mangsa melalui Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC).
“Dari bulan Februari sehingga kini hanya diambil keterangan di bilik pegawai penyiasat, (mangsa) belum diambil keterangan melalui CIC itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















