KUALA LUMPUR – Peniaga kecil dan penjaja makanan dan minuman tetap mendapat manfaat subsidi gas petroleum cecair (LPG).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, berikutan itu isu berkaitan bebanan yang dihadapi kumpulan tersebut dan kenaikan gas berkenaan tidak berbangkit.
“Kerajaan akan terus membenarkan penggunaan LPG bersubsidi kepada peniaga makanan dan minuman mikro dan kecil melebihi had tersebut,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Perikatan Nasional) yang bertanya apakah tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berhubung kenaikan harga LPG.
Menurut beliau, harga LPG bersubsidi tertakluk kepada kawalan harga di setiap peringkat rantaian pengedaran, merangkumi pengeluar, pemborong dan peruncit.
Jelasnya, penetapan itu selaras dengan peruntukan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 4) 2015 yang telah berkuatkuasa mulai 1 Julai 2015.
Menurutnya, harga runcit bagi tong LPG bersubsidi 10kg adalah RM19.00, 12kg adalah RM22.80 dan bagi 14kg adalah RM26.60.
“Manakala, harga bagi LPG kegunaan industri adalah tertakluk kepada harga pasaran,” tambahnya.
Jelas Armizan, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 menetapkan bahwa entiti perdagangan dan perniagaan yang menggunakan LPG melebihi 42kg perlu memohon permit barang kawalan berjadual.
Manakala ujarnya, syarat-syarat permit barang kawalan berjadual yang dikeluarkan beserta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 tersebut menetapkan pemegang permit barang kawalan tidak boleh menggunakan barang kawalan bersubsidi.-MalaysiaGazette
















