Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Perjanjian konsesi Lebuhraya West Ipoh Span (WISE) hanya akan berkuat kuasa selepas syarikat berkenaan memenuhi syarat duluan yang ditetapkan dalam perjanjian.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara syarat yang perlu dipenuhi adalah membuktikan sumber pembiayaan projek lebuh raya itu selain mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Trafik (TIA) dan Penilaian Kesan Sosial (SIA).

Beliau berkata, projek WISE kini berada pada peringkat memenuhi syarat yang dipersetujui, dan proses pengambilan tanah hanya akan dilaksanakan selepas perjanjian konsesi berkuat kuasa.

“Projek ini akan membabitkan pengambilan 1,600 lot tanah dengan anggaran kos sebanyak RM618 juta,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas) yang meminta penjelasan berhubung kelewatan penyediaan laporan tinjauan tanah bagi pembinaan lebuhraya itu termasuk langkah memastikan proses pengambilan tanah serta kerja-kerja permulaan pembinaannya boleh diteruskan tanpa sebarang kelewatan.

Ahmad berkata, proses pengambilan tanah, syarikat konsesi perlu melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 iaitu pewartaan di bawah Seksyen 4 bagi tujuan pembekuan koridor.

“Dalam hal ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuh Raya (LLM) akan membantu memudah cara urusan syarikat konsesi dalam proses pengambilan tanah dengan pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Perak. Sebaik saja selesai proses pengambilan tanah, pihak konsesi boleh memulakan kerja pembinaan.

“KKR dan LLM akan memantau pelaksanaan pembangunan Lebuhraya WISE dengan teliti supaya ia dapat dilsiapkan sebagaimana dirancang,” jelasnya.

Kerajaan meluluskan cadangan pembinaan WISE yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sepanjang 60 kilometer, pada Disember 2023.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaannya akan dilaksanakan oleh syarikat konsesi secara inisiatif kewangan swasta (PFI). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast