KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan bahawa siasatan tidak dijalankan berhubung kes lelaki warga Bangladesh yang didakwa mencabul kehomatan kanak-kanak perempuan di kedai serbaneka seperti tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Tindakan sedang diambil untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial, seorang lelaki yang mengaku bapa kepada kanak-kanak terbabit memuat naik rakaman di Facebook mendakwa polis tidak meneruskan siasatan membabitkan kes itu apabila diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut NFA.
Terdahulu, media melaporkan, polis meminta saksi kejadian lelaki warga Bangladesh yang didakwa mencabul kanak-kanak perempuan di kedai serbaneka seperti tular di media sosial untuk tampil membantu siasatan.
Naazron dilaporkan berkata, polis terkesan penularan video mengenai kejadian itu di aplikasi X pada 12.40 tengah hari.
Menurutnya, hantaran itu mendakwa lelaki terbabit mencabul dan melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak dan video lain yang menunjukkan dia dikasari.
Semakan turut mendapati, satu laporan polis diterima pada pukul 4 petang, 12 Mac lalu daripada seorang lelaki berusia 32 tahun yang mendakwa anak perempuannya berusia sembilan tahun dicabul oleh seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di kawasan Kajang. – MalaysiaGazette
















