KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli menegur tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengajak murid-murid sekolah menyampaikan ucapan selamat hari ulangtahun kelahiran sempena hari jadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ahli Parlimen, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan di sekolah kerana institusi pendidikan seharusnya bebas daripada sebarang unsur politik atau pandangan peribadi.
“Sekolah adalah tempat yang sangat penting untuk kita. Ia bukan sahaja memberi ilmu, tetapi juga tempat memupuk budaya dan sikap,” katanya menerusi rakaman di Facebook beliau, hari ini.
Beliau menegaskan, walaupun Menteri Pendidikan mungkin mempunyai rasa hormat dan kasih terhadap Perdana Menteri, ia tidak sepatutnya melibatkan pelajar dalam bentuk pernyataan taat setia atau pujian politik.
“Kalau ya pun dia sangat cintakan PMX (Anwar) dan mahu buktikan kesetiaan, cukup dengan ucapan dari dia sendiri. Tak perlu libatkan murid-murid.” ujarnya.
Rafizi yang merupakan bekas Menteri Ekonomi berkata, turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan seumpama itu menjadi satu kelaziman pada masa akan datang, apabila menteri-menteri lain turut menggunakan sekolah untuk menunjukkan sokongan kepada pemimpin politik tertentu.
“Saya cukup berhati-hati dengan sekolah. Sepanjang saya jadi Ahli Parlimen, saya bantu banyak permohonan sekolah di Pandan. Tapi saya hanya hadir sekali ke dalam kawasan sekolah…itu pun selepas dipujuk guru besar,” tambahnya.
Katanya, beliau tidak mahu mencampur adukkan politik dengan pendidikan dan berharap prinsip itu dihormati semua pihak.
“Saya tahu kalau orang lain buat, saya akan marah. Tapi kini bila Menteri Pendidikan dari PKR sendiri yang buat, saya pun rasa malu,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan agar selepas ini, tiada lagi pihak dari PKR mengkritik mana-mana ahli politik yang memasuki sekolah dengan membawa mesej politik kerana tindakan seumpamanya kini telah dilakukan oleh menteri dari parti itu sendiri.
Terdahulu, Fadhlina menjadi perhatian ramai selepas tular satu video menunjukkan beliau hadir satu program di sebuah sekolah.
Kehadirannya itu tidak menjadi isu, sebaliknya permintaan beliau kepada murid-murid yang hadir menjadi bualan di laman sosial.
Dalam rakaman itu, beliau dilihat telah meminta murid-murid untuk mengucapkan “selamat hari lahir PMX, we love you PMX”.
Sejak video itu tersebar di media sosial, netizen mula mempersoalkan sama ada wajar atau tidak seorang Menteri Pendidikan membuat permintaan seperti itu di sekolah. – MalaysiaGazette
















