KUALA LUMPUR – Tiada sekatan terhadap orang kurang upaya (OKU) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, OKU berhak untuk melanjutkan pelajaran, dalam masa yang sama pihak universiti pula bertanggungjawab menyediakan prasarana asas bagi golongan itu.
Berhubung dakwaan permohonan seorang OKU disekat dalam sistem Unit Pusat Universiti (UPU) yang tular di media sosial, baru-baru ini, Zambry berkata, KPT telah diminta untuk menyemak dan menyiasat isu tersebut.
“Hal yang berlaku kepada OKU (itu),kita akan pastikan beliau akan dapat belajar di salah satu daripada institusi pengajian tinggi.
“Terkini saya dimaklumkan UIA sedang lihat jika ada kesesuaian dengan OKU itu, (ia merupakan) antara universiti pilihan pelajar,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, lazimnya pihak universiti meminta pengesahan berkaitan jenis OKU pemohon sebelum membuat prosedur berikutnya.
“Dalam kes ini saya minta siasatan dibuat, yang berlaku adalah apabila beliau ada memohon pilihan universiti, di peringkat universiti berkenaan dia nak tahu OKU jenis apa (seseorang itu) supaya ada penyesuaian dapat diberikan berpandukan keadaan OKU,” katanya lagi.
Baru-baru ini, sebuah pertubuhan kesihatan mental menyuarakan kebimbangan terhadap satu insiden seorang pelajar didakwa tidak dibenarkan memohon penempatan di universiti awam disebabkan autisme yang dihidapinya.
Menurut satu hantaran Facebook Sazly Azizuddin Sahaimi, pelajar berkenaan yang hanya dikenali sebagai Aniq, dilaporkan memiliki PNGK matrikulasi sebanyak 3.83 dan telah memenuhi syarat umum serta syarat khas program yang dipohon.
Sazly mendakwa walaupun Aniq yang merupakan anaknya memilih program universiti dalam fasa kedua melalui sistem UPU, namun pilihan tersebut “hilang” pada peringkat seterusnya.
Difahamkan, pilihan awal kursus Aniq adalah Sains Komputer, Sains Matematik dan Statistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Putra Malaysia (UPM). -MalaysiaGazette
















