Lima di antara 17 yang ditahan dalam operasi berkenaan. Ihsan Foto : JIM Sarawak

KUALA LUMPUR – Unit Pemantauan Keselamatan dan Penguatkuasaan (UPKP) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 17 warga asing dalam Operasi Sapu yang dijalankan di sekitar Bandar Bintulu, Sarawak, semalam.

JIM Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, operasi yang bermula pukul 6.00 pagi hingga 3.00  petang itu melibatkan tujuh pegawai, hasil risikan awal di dua lokasi berasingan.

“Mereka yang diperiksa terdiri daripada empat wanita dewasa, dua lelaki dewasa dan 11 kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 12 tahun.

“Daripada jumlah itu, 13 adalah warga Filipina dan empat warga Indonesia,” katanya.

Menurutnya, semua yang diperiksa ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Siasatan awal mendapati mereka masuk ke Sarawak melalui pintu masuk yang tidak diwartakan dan dipercayai diuruskan oleh ejen tempatan dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang.

Kesemua warga asing dewasa dibawa ke Depot Imigresen Bekenu, manakala kanak-kanak bersama penjaga ditempatkan di Baitul Mahabbah Bekenu yang mempunyai persekitaran lebih kondusif untuk tahanan kanak-kanak.

“JIM Sarawak akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri ini terpelihara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan PATI diminta menyalurkannya kepada pihak imigresen terdekat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast