KUALA LUMPUR – Rantau ASEAN perlu menubuhkan sebuah pusat penyelarasan kemahiran serantau atau ASEAN Skills Clearing House bagi membolehkan pengiktirafan standard kemahiran secara rentas sempadan, sekali gus memperkukuh pasaran tenaga kerja berkemahiran tinggi di rantau ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan kemahiran adalah keperluan utama dalam Revolusi Industri 4.0, dan pengiktirafan bersama akan memudahkan pergerakan tenaga mahir di seluruh ASEAN.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk mewujudkan pusat penyelarasan kemahiran ASEAN, sebuah pihak berkuasa serantau untuk membolehkan pengiktirafan rentas sempadan terhadap standard kemahiran negara anggota,” katanya ketika berucap pada Persidangan TVET ASEAN 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Persidangan TVET ASEAN 2025 dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Steven berkata, langkah awal yang boleh diambil adalah memperkukuh Majlis TVET ASEAN sedia ada supaya dapat berperanan lebih besar dalam menyelaras standard kemahiran dan pensijilan.
Menurutnya, Malaysia kini dalam proses meminda undang-undang pembangunan kemahiran bagi mengiktiraf kelayakan TVET lebih tinggi daripada siling semasa iaitu diploma lanjutan, termasuk pensijilan tahap perunding dan pakar yang mampu memenuhi piawaian ketat serantau atau global.
“Tiada sebab mengapa pakar-pakar ini tidak boleh bergerak bebas untuk menyumbang pengetahuan dan kemahiran mereka di rantau ini,” katanya.
Steven berkata, bagi merealisasikan pasaran kemahiran ASEAN, pelaburan dalam pendidikan kemahiran perlu dipertingkatkan, termasuk kerjasama antara negara anggota dalam berkongsi sumber latihan.
“Kerajaan Malaysia membelanjakan sekitar RM10 bilion (AS$2.4 bilion) setahun untuk TVET dan pendidikan kemahiran.
“Jika angka ini purata di seluruh ASEAN, kita bercakap tentang sekitar RM100 bilion (AS$24 bilion) setahun untuk TVET dan latihan kemahiran.
“Setiap negara anggota mempunyai kekuatan dan kepentingan nasional masing-masing. Namun, tidak ada yang menghalang kita daripada mengembangkan kerjasama yang lebih mendalam dengan memperkukuh sumber melalui perkongsian bersama,” katanya lagi.
Katanya, dua bulan lalu Malaysia membuka Minggu Latihan Kebangsaan kepada warga ASEAN dengan menawarkan lebih 72,000 kursus latihan percuma bernilai RM400 juta, yang menarik penyertaan 3.5 juta peserta dimama 10 kali ganda lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Beliau menegaskan bahawa visi Malaysia adalah menjadikan ASEAN sebagai salah satu rantau paling berkemahiran tinggi di dunia, dengan tenaga kerja berskala 700 juta orang yang berkongsi budaya, tradisi dan bahasa, seterusnya memudahkan integrasi ekonomi serantau. – MalaysiaGazette















