BATU PAHAT – Seorang guru sekolah memandu cedera ditumbuk seorang lelaki di hadapan Balai Polis Parit Sulong di sini semalam selepas tidak berpuas hati dengan cara pemanduan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 1.20 petang bermula di kawasan Taman Mutiara, Parit Sulong.
“Insiden ini melibatkan guru sekolah memandu berusia 56 tahun yang memandu kereta dan seorang pemuda berusia 33 tahun yang menunggang motosikal.
“Suspek kemudian bertindak menahan kereta yang sedang dipandu mangsa kerana dipercayai berpunca dari rasa tidak puas hati dengan cara pemanduan di antara mereka berdua sebelum kejadian.
“Suspek telah bertindak menumbuk cermin besar hadapan kereta sehingga retak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa kemudian meneruskan perjalanan sehingga ke hadapan Balai Polis Parit Sulong dan terus diekori suspek.
Semasa kedua-dua pihak turun dari kenderaan masing-masing katanya, suspek bertindak menumbuk mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian dahi sebelum terus beredar.
Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis pukul 7.24 petang sebelum pihaknya menahan suspek di kawasan Parit Raja di sini untuk siasatan lanjut.
Beliau memberitahu, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera.
Terdahulu tular video kejadian tersebut memaparkan seorang penunggang motosikal marah dan menjerit terhadap mangsa yang memandu dalam sebuah kereta dipercayai bersama-sama pelajarnya.
Kepala mangsa berlumuran darah akibat dicederakan dan berdasarkan luahan suspek dalam video itu, dia tidak berpuas hati dengan cara pemanduan dipercayai salah seorang pelajarnya.- MalaysiaGazette
















