Ab Rahaman menunjukkan antara barang yang dirampas daripada pasangan kekasih yang melakukan khianat di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang nenek didakwa menjadi mangsa keganasan ahlong Singapura selepas ditemui rentung dalam kebakaran lima buah rumah di Kampung Bukit Siput, Segamat pada 25 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian pada pukul 4.30 pagi itu melibatkan mangsa iaitu seorang wanita warga emas berusia 72 tahun.

Katanya, perbuatan tersebut dilakukan sepasang kekasih yang dipercayai diupah sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen dari republik berkenaan.

“Ketika kejadian Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menerima panggilan kecemasan melibatkan kebakaran lima buah rumah.

“Hasil siasatan daripada pihak polis dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian kebakaran itu.

“Polis Johor menubuhkan task force dalam siasatan itu dan polis berjaya memberkas kekasih berkenaan yang masing-masing berusia 21 dan 19 tahun di kawasan Subang Jaya, Selangor seminggu selepas kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Katanya, hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku diupah sindiket ahlong terbabit untuk melakukan ugutan jenayah dengan khianat membakar rumah peminjam yang tidak membayar pinjaman.

Ab Rahaman berkata, pasangan kekasih itu turut disyaki bergiat aktif melakukan jenayah khianat di sekitar Johor dan Selangor sejak Julai lalu dengan bayaran upah sebanyak RM1,000 untuk satu tugasan.

“Untuk kejadian ini, warga emas itu tinggal bersendirian dan tidak pernah menerima ugutan jenayah dan pinjaman disyaki dibuat ahli keluarga mangsa,” katanya.

Menurutnya, kejadian tersebut mengakibatkan kerugian lebih RM1.2 juta yang memusnahkan lima rumah kediaman.

Tambah beliau, empat kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Johor dan menerima arahan pertuduhan.

Jelasnya, suspek lelaki akan didakwa di Mahkamah Majistret Segamat esok atas sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Sementara empat lagi pertuduhan akan didakwa di mahkamah di sini tetapi tarikhnya masih belum diputuskan, katanya.

Sementara kekasih lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis dan akan menjadi saksi pendakwaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast