Tertuduh, Narosman Othman didakwa membunuh bapanya Othman Jusoh, 6 Ogos 2025.

KUALA KRAI – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya di sebuah rumah di sini pada 6 Ogos lepas.

Narosman Othman, 39, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh Othman Jusoh, 74, di sebuah rumah di Kampung Kuala Gris, di sini antara 6 hingga 6.30 pagi, 6 Ogos lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 Sept ini untuk sebutan kes dan turut memerintahkan tertuduh dibawa ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak untuk pemeriksaan mental.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Hafiz Iman Asri manakala Narosman tidak diwakili peguam.

Pada 6 Ogos lepas, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat dilaporkan berkata seorang lelaki warga emas ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang dapur rumahnya di sini dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di bahagian kepala menyebabkan kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast