NSFC berjaya menjaringkan dua gol pada aksi Liga Super berdepan JDT, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.- Foto Johor Southern Tigers Facebook

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil bangga dengan kesungguhan serta komitmen dipamerkan anak buahnya pada aksi Liga Super berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

Menurutnya, kejayaan membolosi pintu gol JDT sebanyak dua kali bagi tempoh 20 minit pertama, perlu berterusan kerana masih banyak perlawanan yang perlu diharungi skuad Hobin Jang Hobin itu.

“Saya harap sikap (aksi), begini bukan di sini sahaja dan sikap positif ini perlu berterusan di setiap perlawanan.

“Kita juga harap kita dapat good feeling (motivasi terbaik), daripada perlawanan ini dengan mengambil perkara-perkara yang bagus.

“Selain itu, kita juga sebenarnya tak boleh terlalu ‘lurus’ apabila bermain bola sepak di peringkat elit seperti ini dan ya, kita memang belajar banyak perkara,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Pada aksi Liga Super tersebut, NSFC tewas 3-5 kepada JDT walaupun mendahului 2-0 bagi tempoh 20 minit pertama.

Mengulas mengenai aksi mantap dipamerkan skuad rusa itu ketika berdepan skuad Harimau Selatan, Nidzam berkata, kesemuanya adalah hasil perancangan yang telah diatur menjelang perlawanan.

“Tak ada resepi apa-apa, tetapi kita memang ‘plan’ kerana kita ada lebih banyak perlawanan lagi dan sudah tentu kita mahu persembahan seperti malam ini berterusan.

“JDT memang satu pasukan yang mantap dan kita juga belajar bagaimana untuk meyerap tekanan, jika mendahului lawan apa kita perlu buat dan banyak perkara lagi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast