PUTRAJAYA – Hampir RM22 juta perbelanjaan masuk ke Labuan sepanjang lima hari penganjuran Borneo Flora Festival@ Labuan 2025 (BFF@ Labuan 2025), baru-baru ini.
Dalam masa yang sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, program tersebut mencatat rekod pengunjung 120,154 orang iaitu 140 peratus melebihi daripada sasaran awal.
“Walaupun pada awalnya, ramai yang skeptikal dengan penganjuran BFF ini, terutamanya apabila saya umumkan sasaran 50,000 pengunjung yang akan hadir ke Labuan, tetapi kita telah membuktikan sebaliknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Borneo Flora Festival@ Labuan 2025 yang diadakan di Badan Perbadanan Putrajaya.
Sebagai rekod, BFF@ Labuan 2025 berlangsung lima hari bermula 26 Julai yang lalu.
Mengulas lanjut Zaliha berkata, pengunjung yang telah datang ke program tersebut bukan hanya dalam kalangan penduduk tempatan malah ada juga dari luar termasuk Sarawak, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.
Malah menurutnya, ada juga pengunjung dari luar negara seperti Filipina, Brunei, Indonesia, Timor Leste, China dan India.
Jelasnya, program tersebut dalam masa yang sama berjaya memberi limpahan ekonomi berganda dalam bentuk pulangan pendapatan kepada rakyat Labuan.
“Impak secara langsung dapat dirasakan dengan penambahbaikan dan penyelenggaraan fasiliti asas yang dipertingkatkan melalui pembaikan jalan raya, landskap, pembaikan kemudahan dalam dan luar bangunan, tandas, laluan pejalan kaki, longkang, pencahayaan dan banyak lagi,” ujarnya.
Sementara itu Zaliha berkata, Labuan memiliki potensi yang jauh melangkaui sempadan pulau tersebut.
Namun katanya, Labuan berdepan dengan cabarannya yang tersendiri iaitu dari segi skala pasaran dan kebergantungan kepada industri tertentu.
Sehubungan itu katanya, kedudukan strategik Labuan perlu dimanfaatkan dengan baik khususnya menerusi ekonomi.
“Kedudukan strategik Labuan di tengah-tengah kepulauan Borneo meletakkannya dalam ekosistem serantau yang melibatkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia menjadikannya satu gabungan populasi melebihi 20 juta orang secara keseluruhannya,” tambahnya lagi.-MalaysiaGazette.
















