KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan, langkah menamakan pemimpin gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai calon Perdana Menteri (PM) adalah merupakan isu besar.
Ia hanya boleh diputuskan selepas dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), tegasnya.
Malah selagi tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Majlis Tertinggi PN, mana-mana kenyataan mengenai calon PM hanyalah pandangan peribadi.
“Berkaitan dengan sesiapa sahaja yang akan dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri, itu adalah keputusan Majlis Tertinggi PN. Maka selagi mana Majlis Tertinggi PN belum umumkan apa-apa, tak adalah dari sudut PN,” katanya.
Radzi turut menegaskan sekali lagi bahawa apa-apa keputusan berhubung calon PM daripada gabungan tersebut mesti dibawa dan dibincangkan di peringkat tertinggi parti gabungan.
“Kita kena faham bahawa apa-apa saja keputusan berkaitan dengan calon Perdana Menteri, keputusan-keputusan besar ini perlu dibawa dan dibincangkan di Majlis Tertinggi PN.
“Selagi mana tidak ada sebarang keputusan daripada Majlis Tertinggi PN, itu pandangan masing-masing tetapi umumnya secara rasminya adalah daripada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional,” katanya.
Radzi turut memberi jaminan pengumuman rasmi akan dibuat apabila tiba masanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PN, Afnan Taib Azamudden dalam satu kenyataan menyebut gabungan itu sudah mempunyai calon Perdana Menteri yang akan diumumkan pada waktu sesuai sekaligus mencetuskan spekulasi politik.
Afnan menamakan Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua naib presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta Datuk Idris Ahmad sebagai pilihan ke jawatan itu jika pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.
Turut dinamakan Afnan adalah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga merupakan Ketua Pembangkang sekarang. – MalaysiaGazette
















