Gambar hiasan.

MELAKA – Seorang lelaki ditemukan mati dipercayai terjatuh dari tingkat 27 sebuah rumah inap kondominium di Kota Syahbandar di sini awal pagi tadi.

Lebih tragis, kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, berusia 24 tahun baru mendaftar masuk ke rumah inap itu bersama tunangnya berusia 21 tahun pada pukul 12 tengah malam.

Menurut sumber, kejadian disedari penyewa lain di tingkat lapan selepas terdengar bunyi dentuman yang kuat dari kawasan kolam renang yang terletak di tingkat tujuh kondominum berkenaan.

“Saksi terkejut apabila mendapati kelibat seseorang di dalam kolam dan terus menghubungi balai polis untuk mendapatkan bantuan.

“Sebaik tiba, pasukan polis mengesahkan objek terapung dalam kolam renang adalah mayat seorang lelaki dengan keadaan tangan kirinya terputus dipercayai terjatuh dari tingkat atas,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit

Menurutnya, polis kemudian meminta bantuan daripada pihak bomba untuk membantu mengeluarkan mayat dari kolam renang sebelum menghubungi pihak hospital yang mengesahkan kematian.

“Pada kira-kira pukul 2.15 pagi, mangsa memberitahu tunangnya seperti terdengar orang mengetuk pintu rumah sebelum lelaki itu keluar ke balkoni untuk cuba turun ke tingkat bawah.

“Bagaimanapun si mati dipercayai terjatuh ke tingkat ke dalam kolam renang di tingkat tujuh dan semakan melalui sistem kamera litar tertutup mendapati tiada pergerakan individu lain ketika kejadian,” jelasnya.

Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi untuk menjaga sensitiviti keluarga. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast