Muhammad Ferhad Azuar

SEGAMAT – Tindakan Pemuda MCA Bahagian Segamat membuat laporan polis terhadap pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh hanya mengeruhkan keadaan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Muhammad Ferhad Azuar berkata, perkembangan itu secara tidak langsung boleh menjejaskan perpaduan dalam parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

“Sebagai rakan dalam Barisan Nasional, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk saling memahami konteks kenyataan pemimpin masing-masing sebelum membuat tindakan yang boleh menjejaskan hubungan dan persefahaman politik.

“Isu sensitif seperti ini memerlukan kita bersatu, bukannya berpecah. Bak kata pepatah, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, dalam berpolitik, keberanian mempertahankan prinsip adalah tunjang perjuangan tetapi dalam hal ini Pemuda MCA Segamat melakukan tindakan yang salah.

“Malangnya, tindakan Pemuda MCA Segamat dalam hal ini umpama kiri salah, kanan pun salah dan akhirnya memilih jalan yang hanya mengeruhkan keadaan dan melemahkan semangat setiakawan dalam gabungan sendiri,” katanya.

Beliau mengajak semua semua pihak, khususnya rakan-rakan dalam Pemuda MCA Segamat, untuk melihat isu ini dalam kerangka besar.

Objektifnya kata Muhammad Ferhad, adalah untuk mempertahankan maruah negara iaitu tanggungjawab bersama tanpa mengira kaum atau parti.

Dalam hal ini katanya, Pemuda UMNO Segamat akan terus berdiri teguh bersama-sama Akmal yang tidak pernah bertujuan untuk mengugut mana-mana pihak

Sebaliknya ujar beliau, merupakan mesej tegas bahawa perbuatan menghina atau merendahkan simbol negara adalah satu garis merah yang tidak boleh dipandang ringan.

Sebelum ini Akmal mempertahankan pendiriannya dalam isu Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast