KUALA LUMPUR – Sukan muay Thai, petanque dan silambam sah akan mewarnai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor selepas penambahannya dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat itu dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Exco Sukan negeri-negeri dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
“Penambahan tiga sukan pilihan itu, Muay Thai, petanque dan silambam dicadangkan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII 2026 Mohd Najwan Halimi serta dipersetujui sebulat suara oleh semua ahli Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.
“Dengan penambahan itu, temasya SUKMA XXII Selangor 2026 akan mempertandingkan 30 sukan wajib serta tujuh sukan pilihan dan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA juga memutuskan tiada lagi cadangan atau rayuan penambahan sukan akan dipertimbangkan,” menurut kenyataan hari ini.

SUKMA 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah di Selangor.
















