ALOR GAJAH – Gara-gara dipercayai terlalu percayakan laluan disyorkan Sistem Penentuan Kedudukan Sejagat (GPS), kereta seorang pemandu Grab tersangkut dalam lumpur selepas tersesat dalam kawasan ladang kelapa sawit di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Shahrom Laji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.20 pagi daripada pemandu Grab berkenaan, wanita berusia 43 tahun.
Menurutnya, tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit Rondaan Ikhtisas Mobil (RIM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alir Gajah dikejarkan ke lokasi di kawasan Vicky Leisure Farm.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengikuti laluan yang disyorkan GPS di kawasan itu sehingga memasuki jalan ladang sawit yang berlumpur.
“Akibatnya, tayar hadapan kereta jenis Perodua Axia dipandu wanita berusia 43 tahun itu terbenam dalam lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohd Shahrom,pasukan bomba kemudian menolak kenderaan tersebut ke kawasan selamat dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.03 pagi selepas memastikan tiada risiko kemerbahayaan di lokasi,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















