Sanjeevan Ramakrishnan

KUALA LUMPUR – Serangan terhadap anak Datuk Seri Rafizi Ramli yang hanya berusia 12 tahun adalah satu tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Naib Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, serangan terhadap kanak-kanak tidak berdosa hanya dilakukan orang bersifat pengecut.

“Ia merupakan satu bentuk ugutan bacul yang langsung tidak boleh diterima. Insiden sebegini mesti disiasat dengan segera, telus dan menyeluruh. 

“Tiada ibu bapa di negara ini patut hidup dalam kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak mereka hanya kerana penglibatan dalam politik, perkhidmatan awam atau aktivisme,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini. 

Rabu lalu, media melaporkan anak lelaki Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira 1.45 tengah hari.

Sri Sanjeevan juga menggesa pihak polis dan agensi penguat kuasa menggembleng seluruh keupayaan risikan serta sumber sedia ada bagi mengesan, menangkap dan mendakwa pelaku jenayah ini sehingga ke muka pengadilan.

“Serangan terhadap anak Rafizi bukan sekadar satu tragedi keluarga, tetapi cerminan kepada realiti bahawa jenayah di Malaysia kini semakin berani, terancang dan melampaui batas,” katanya.

Selain itu, katanya, peningkatan mendadak kes jenayah berat termasuk penculikan berprofil tinggi, serangan kumpulan kongsi gelap, pembunuhan upahan serta rompakan bersenjata yang berlaku secara terang-terangan sangat membimbangkan.

“Keadaan ini jelas menghakis keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan negara selain menjejaskan kewibawaan undang-undang.

“Kerajaan tidak boleh berdiam diri atau hanya sekadar bertindak setelah tragedi berlaku. Keselamatan rakyat khususnya kanak-kanak mesti menjadi satu keutamaan,” katanya.

Menurut Sri Sanjeevan, tindakan segera menyeluruh diperlukan segera, bermula dengan pengukuhan risikan terhadap rangkaian jenayah terancang, peningkatan operasi pencegahan dan tindakan pantas di kawasan berisiko tinggi.

“Penggubalan dasar keselamatan awam yang lebih tegas perlu dilakukan agar penjenayah tidak lagi bermaharajalela tanpa rasa gentar terhadap undang-undang.

“Kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat hidup dalam ketakutan. Keadilan mesti ditegakkan dan mesejnya perlu jelas serta lantang.

“Setiap bentuk keganasan, ugutan dan jenayah berat akan berdepan dengan tindakan paling keras di bawah undang-undang negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast