BUTTERWORTH – Seorang tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) milik orang lain, pada bulan lalu.
Tertuduh, Tan Beng Li, 36, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin terhadapnya di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa tanpa kuasa sah telah memiliki kad ATM milik dua individu lain.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Usahaniaga di Bukit Mertajam, dekat sini jam 5.30 petang, pada 8 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 23 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















