LONDON – Manchester United tidak akan meneruskan usaha mendapatkan Carlos Baleba pada jendela perpindahan ketika ini, lapor wartawan David Ornstein.
Katanya, komunikasi secara langsung dan tidak langsung telah wujud antara kedua-dua kelab namun Brighton jelas dengan pendirian mereka bahawa pemain berusia 21 tahun itu tidak dijual.
Malah, nilai yang diletakkan untuk membuka rundingan dianggap terlalu tinggi oleh United.
“Baleba sendiri dikatakan berminat untuk menyarung jersi United tetapi dia juga tidak berdepan masalah untuk terus kekal bersama The Seagulls.
“Buat masa ini, fokus utama United adalah menguatkan pasukan Ruben Amorim dengan tanpa terjebak dalam tawaran harga yang melampau.
“Justeru, mereka dijangka akan menilai pilihan lain bagi memperkukuh bahagian tengah United,” tulisnya di media sosial.
Sejak berhijrah dari Lille pada 2023, pemain tengah kelahiran Cameroon itu sentiasa mencuri perhatian dan kerap tersenarai sebagai tonggak penting dalam skuad Fabian Hurzeler. – Agensi
















