CYBERJAYA – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail antara individu menyalurkan maklumat dalam Op Sohor yang menyaksikan penahanan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kerjasama itu hasil rangkaian baginda yang mahu aktiviti penyeludupan dibanteras melibatkan perairan selatan negara.
“Setakat ini banyak tertumpu di kawasan selatan negara dan saya ingin memberitahu bahawa Tunku Mahkota Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor dalam hal ini amat bekerjasama dan mahu perkara ini dibanteras.
“Banyak juga kita dapat maklumat-maklumat yang kami perolehi daripada hasil daripada jaringan Tunku Mahkota Ismail,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KOMAWAR) Kali Ke-5 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia di sini hari ini.
Rabu lalu, 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan media sosial yang direman SPRM selepas ditahan menerusi Op Sohor.
Turut direman seorang pengurus syarikat, seorang pembantu pentadbiran di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan seorang wanita warga asing berhubung siasatan kegiatan sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Pegawai kanan perisikan tentera itu dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelak sindiket terbabit daripada dikenakan tindakan.
Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini membabitkan dadah dan rokok serta barangan lain dari negara jiran membabitkan nilai barangan seludup kira-kira RM5 juta sebulan.
Hasil risikan yang dijalankan selama 12 bulan mendapati sindiket itu dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai kanan tentera berkenaan setiap kali menyeludup masuk barangan itu.
Mengulas lanjut, Azam berkata, sehingga kini tiada penahanan baharu dibuat sehingga SPRM menemui bukti lain ketika siasatan.
“Saya jangka setakat ini belum ada lagi kalau sekiranya ada kaitan, bila kita menyiasat hal-hal berkaitan dengan pengubahan wang haram berkemungkinan akan ada lagi pihak-pihak yang mungkin mendapat faedah daripada kegiatan ini.
“Kalau ada di situ, kita akan menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka itu saya belum dapat sahkan kerana setakat ini belum nampak lagi bukti-bukti berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















