SEMENYIH – Sebuah rumah dalam bangunan 18 tingkat hampir musnah selepas dijilat api di Cassia Apartment, Jalan Ecohill di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai insiden itu pukul 3.19 petang dan menggerakkan sepasukan lima anggota dari Balai Bomba Penyelamat Semenyih ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba ke lokasi kejadian pukul 3.23 petang, kebakaran didapati berlaku di tingkat 18 bangunan apartmen tersebut.
“Kebakaran melibatkan ruangan berkeluasan 800 kaki persegi dengan 40 peratus kemusnahan manakala bilik tidur berkeluasan 150 kaki persegi pula musnah sepenuhnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran rumah apartmen itu bagaimanapun berjaya dikawal pukul 3.28 petang tadi.
“Tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran terbabit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















