Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai.

KUALA LUMPUR – Kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Terengganu Football Club (TFC) Sdn. Bhd. yang baharu kini sah menjadi milik Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai.

Bekas Pengarah Urusan Malaysian Employers Federation (MEF) itu mengisi tugas yang ditinggalkan Mohd. Sabri Abas selepas berlaku pertukaran sebagai Pegawai Tadbir Negeri Terengganu berkuat kuasa 4 Mei lalu.

Sebelum ini, kekosongan jawatan itu telah dipangku oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) TFC Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan pelantikan ini dibuat secara tertib melalui satu temu duga tertutup pada 8 Julai 2025 dan dibentangkan oleh panel temu duga dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd pada tarikh yang sama.

“Keputusan penuh pelantikan ini dibuat pada 27 Julai 2025 dalam satu Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd.

“TFC amat mengharapkan dengan penyertaan Sheikh Farouk sebagai CEO yang baharu akan dapat membantu memperkukuhkan lagi peranan penswastaan kelab ini sebagai sebuah kelab bola sepak yang lebih profesional.

“Pada masa TFC Sdn Bhd mengalu-alukan kepimpinan Sheikh Farouk untuk membawa agenda kelab sebagai pasukan bola sepak yang berdaya saing dan terus mendaki ke arah yang lebih membanggakan pada masa depan,” kata Mohd Shahrizan dalam kenyataan itu.

Berdasarkan rekod, Sheikh Farouk adalah individu berkelulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian Dalam Kewangan), Arizona State University, Amerika Syarikat dan akauntan bertauliah daripada CIMA, UK yang berdaftar di bawah Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Sebelum ini, beliau merupakan Pengarah Urusan MEF dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan AEON BiG, sebuah peruncit utama di Malaysia yang mempunyai 22 cawangan pasar raya utama.

Beliau juga memiliki pengalaman bekerja bawah Kumpulan Syarikat Nestle selama 18 tahun dan bertugas di pelbagai lokasi termasuk Malaysia, Singapura, Filipina dan Switzerland. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast