Datuk Armizan Mohd. Ali hadir meraikan kejayaan Kopitiam Ali, Muthu & Ah Hock yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) atas pencapaian rekod tertinggi dalam negara menjual sebanyak 452,162 pinggan nasi lemak sepanjang tahun 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyeru semua pemain industri tempatan termasuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk tampil dengan strategi dan pendekatan terbaik bagi mempromosi kekuatan dan keunikan produk masing-masing.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia termasuk melalui promosi digital untuk menarik minat pengguna tempatan untuk membeli produk lokal dan sekali gus meluaskan capaian kepada golongan sasar pelancong asing.

“Peranan industri tempatan amat penting dalam menonjolkan keunikan dan kekuatan jenama serta produk untuk menarik pelancong asing ke dalam negara khususnya bersempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab bagi sektor perdagangan pengedaran termasuk sub-sektor perkhidmatan borong dan runcit, makanan dan minuman, KPDN sentiasa komited untuk memacu perdagangan dalam negeri yang sihat dan progresif.

“Sektor perdagangan dan pengedaran kekal sebagai antara penyumbang utama kepada perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir meraikan kejayaan Kopitiam Ali, Muthu & Ah Hock yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) atas pencapaian rekod tertinggi dalam negara menjual sebanyak 452,162 pinggan nasi lemak sepanjang tahun 2024.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, kejayaan yang diraih kopitiam itu merupakan citra perkembangan membanggakan bagi sebuah jenama tempatan yang dirintis bermula tahun 2012 dan kini mempunyai 18 buah cawangan.

Katanya, pada masa yang sama, inisiatif Kopitian Ali, Muthu & Ah Hock untuk bersama memaknai Sambutan Bulan Kebangsaan 2025 dengan menawarkan promosi diskaun 50 peratus menu Nasi Lemak daripada harga asal RM13.90 kepada RM6.80 amat dihargai.

“Ini menggambarkan komitmen mereka melalui pendekatan tersendiri terhadap agenda nasional untuk menyemarakkan rasa cinta kepada tanah air sepanjang bulan kebangsaan.

“Inisiatif ini sejajar dengan citra perpaduan kaum yang mereka bawa melalui pemilihan jenama Ali, Muthu dan Ah Hock itu sendiri.

“Saya melihat inisiatif ini wajar dicontohi kerana melibatkan objektif serampang dua mata iaitu strategi mempromosi perniagaan sekali gus menampilkan kekuatan serta keunikan produk dan perkhidmatan yang bersulamkan identiti tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast