JDT mengalahkan UM-Damansara FC 5-0 pada pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.- Foto Johor Southern Tigers Facebook

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mahu anak buahnya meningkatkan lagi intensiti dan aksi lebih seimbang di semua bahagian walaupun mengalahkan UM-Damansara FC pada pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.

Beliau tidak mahu para permainnya berpuas hati dengan kemenangan 5-0 ke atas UM-Damansara FC itu kerana masih perlu meningkatkan kualiti permainan.

“Kita akui peringkat awal permainan agak sukar dan pemain hanya menemui rentak selepas gol pembukaan yang memberikan mereka keyakinan untuk mara mencabar lawan sekali gus merubah momentum permainan.

“Jaringan pertama ini sangat penting bagi kami kerana sebelum itu kami tidak dapat mencari rentak permainan. Selepas menjaringkan gol pasukan bermain dengan lebih yakin dan bertenaga, dari situ kami mula meningkatkan tekanan dan mencipta lebih banyak peluang.

“Bukan mudah untuk mencipta gol pertama tetapi bila berjaya permainan menjadi lebih terbuka dan kita mempunyai lebih banyak peluang,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan malam tadi.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan keseluruhan prestasi pasukannya selepas tiga perlawanan musim ini, Munoz berkata, masih ada yang perlu diperbaiki terutama ketika bermain di laman sendiri.

“Perkara paling penting kita mesti beraksi lebih baik di laman sendiri. Pemain masih dalam proses menyesuaikan diri dengan rentak di sini, terutama bagi pemain baharu.

“Langkah demi langkah kita perlu mencari keseimbangan yang tepat. Malam ini, kita mencipta banyak peluang termasuk sepakan penalti tetapi dalam serangan mesti gunakan keupayaan kita dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, JDT menang bergaya 5-0 ke atas pasukan Liga A1, UM-Damansara FC, selepas pasukan lawan menerima tamparan hebat pada minit ke-38 apabila kapten mereka, Hariz Mansor dilayangkan kad merah akibat menerima kad kuning kedua.

JDT memecah kebuntuan sebelum tamat separuh masa pertama apabila pemain pertahanan kiri dari Argentina, Jonathan Silva menjaringkan gol pada minit ke-44.

Beliau menambah jaringan kedua peribadi menerusi tandukan sepuluh minit selepas babak kedua bermula sekali gus meletakkan Harimau Selatan dalam kedudukan yang kukuh. – MalaysiaGazette

 

Caption gambar: JDT mengalahkan UM-Damansara FC 5-0 pada pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.- Foto Johor Southern Tigers Facebook

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast