Ikmal Hisham Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Penahanan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Sohor yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menimbulkan kebimbangan serius kerana ia membabitkan aspek keselamatan negara.

Ketua Portfolio Pertahanan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menegaskan, penahanan itu turut menimbulkan kerisauan besar apabila individu yang terlibat terdiri daripada pegawai kanan yang bertanggungjawab secara langsung dalam kawalan dan pengendalian maklumat risikan fizikal dan siber.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak SPRM kerana bertindak tegas dalam pelaksanaan Op Sohor bagi mengekang permasalahan rasuah dalam kalangan anggota keselamatan dan pertahanan negara, khususnya melibatkan ketirisan maklumat penting seperti jadual rondaan unit-unit tentera.

“Situasi ini amat merunsingkan dan membimbangkan semua pemerhati pertahanan. Persoalan timbul sama ada ketirisan ini hanya terbatas kepada maklumat rondaan atau melibatkan data lebih kritikal seperti isu Laut China Selatan serta kesiagaan ketenteraan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ikmal Hisham yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, lebih membimbangkan, kesemua suspek yang ditahan adalah dari Kor Risik dan Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO), termasuk seorang individu yang mempunyai pertalian darah dengan bekas Panglima Tentera Darat.

Beliau mendakwa, pegawai-pegawai yang terlibat disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan sejak lima tahun lalu, sekali gus menimbulkan kemungkinan kompromi keselamatan yang lebih besar.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkenaan Keselamatan dan Pertahanan memanggil pihak Kementerian Pertahanan, khususnya Ketua Pengarah MDIO untuk memberi penjelasan atau taklimat khas secara tertutup kepada wakil-wakil kerajaan dan pembangkang dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung.

“Saya juga ingin tahu apakah tindakan counter-intelligence atau risik-balas telah diambil oleh MDIO dan Mindef selepas pendedahan ini bagi menutup semula ketirisan yang berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan penuh bahawa Panglima Angkatan Tentera akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk memastikan ATM dibersihkan daripada sebarang unsur rasuah dan subversif yang boleh menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.   – MalaysiaGazette

Op Sohor: Tunku Mahkota Ismail turut salur maklumat – Azam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast