Peserta-peserta konvoi Program Ride Mahabbah anjuran Surau An-Nur Taman Kantan Permai ke Madrasah Darul Atiq, Kuala Kubu Bharu bergambar kenang-kenangan selepas program hari ini.

KUALA LUMPUR – Program Ride Mahabbah anjuran Surau An-Nur, Taman Kantan Permai, Kajang berjaya dilaksanakan dengan penuh makna apabila konvoi sebanyak 50 buah motosikal tiba di Madrasah Darul Atiq, Kuala Kubu Bharu hari ini.

Menurut Penyelaras Program, Mohd Safrizan Mohd Mustaffa, konvoi itu bertujuan menyantuni para pelajar tahfiz serta menyampaikan sumbangan dari pihak khariah kepada pihak madrasah.

Katanya, sebaik tiba, para peserta program disambut mesra oleh warga Madrasah Darul Atiq.

“Para peserta kemudian berpeluang untuk beramah mesra dan menyantuni para pelajar tahfiz, sebelum menikmati jamuan makan tengahari bersama-sama dalam suasana penuh harmoni dan kekeluargaan,” katanya.

Program diteruskan dengan solat Zohor berjemaah, di mana semua peserta serta warga madrasah menunaikan solat bersama-sama yang mana ia dapat mempereratkan lagi hubungan silaturrahim antara satu sama lain.

Kemuncak program menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Khariah Surau An-Nur kepada pihak Madrasah Darul Atiq bagi membantu keperluan operasi serta kebajikan pelajar-pelajar tahfiz.

Safrizan berkata, program Ride Mahabbah itu merupakan satu inisiatif untuk menyemai semangat kebersamaan di samping memberi sokongan moral dan material kepada institusi pendidikan agama.

“Semoga program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi di masa akan datang, sebagai satu bentuk dakwah serta kebajikan kepada masyarakat,” ujarnya.

Program sehari itu bukan sahaja menyatukan komuniti melalui aktiviti bermanfaat, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara surau dan institusi tahfiz dalam memartabatkan pendidikan Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast