UM-Damansara tetap berpuas hati walaupun tewas kepada JDT pada pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.- Foto Johor Southern Tigers.

ISKANDAR PUTERI – UM Damansara (UMD) tetap berpuas hati dengan semangat juang dipamerkan biarpun tewas 0-5 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pusingan 16 Piala FA 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.

Pengendalinya, Ridzuan Abu Shah berkata, apa yang lebih membanggakannya adalah kemampuan kesebelasan skuad kendaliannya mengekang asakan-asakan lawan biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila kapten, Muhammad Hariz Mansor dilayangkan kad merah pada minit ke-33.

Bagi tempoh 45 minit pertama sebelum layangan kad merah itu, beliau berpuas hati dengan pemain-pemain yang berusaha bersungguh-sungguh.

“Tapi bila insiden itu berlaku, ia telah mengubah sedikit perancangan kami. Apa pun, kami tetap bangga kerana pemain bertahan dengan baik walaupun beraksi 10 orang selama 57 minit.

“Apatah lagi apabila berdepan dengan pasukan handalan seperti JDT dan sekali gus saya melihat ia sebagai satu pengalaman yang cukup berharga kepada pemain,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

UMD tewas 0-5 pada perlawanan berkenaan, namun ia dilihat berjaya memberikan pengalaman yang cukup berharga buat semua pemain.

Ketika ditanya mengenai persiapan UMD berdepan skuad Harimau Selatan itu, Ridzuan berkata, kesemua persiapan dibuat seperti biasa tanpa apa-apa perancangan istimewa.

Katanya, biarpun sedar bakal berdepan pasukan gergasi seperti JDT, pihaknya hanya mengekalkan perancangan serta corak pemainan sama yang diatur sejak tujuh minggu lalu.

“Saya pernah melatih pasukan dan berdepan JDT tahun lepas, jadi memang tahu tahap kemampuan mereka.

“Jadi kami datang dengan pemain profesional, dua import dan pemain muda. Malangnya, kita bermain dengan 10 orang, menentang pasukan seperti JDT.

“Oleh itu, fokus kami kini adalah untuk memperkemaskan organisasi pasukan selain memanfaatkan kemasukan pemain import baharu yang baru tiba ke Johor Bahru, Jumaat lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast