KUALA LUMPUR – Seorang wanita China yang menyebabkan kecederaan pegawai kaunter Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Albany Hamzah berkata, polis sudah merekodkan keterangan lima individu termasuk pegawai imigresen terbabit berhubung kes berkenaan.
Katanya, rekod kemasukan wanita terbabit ke Malaysia juga sedang disiasat oleh pihak Jabatan Imigresen.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam pada Rabu lalu, di Balai Berlepas KLIA Terminal 1, empat warga China terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak, menjalani pemeriksaan pelepasan imigresen.
Difahamkan, wanita berkenaan telah bertindak agresif sehingga mencederakan pegawai imigresen kerana bimbang terlepas penerbangan.
Susulan itu, dia ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 (mencederakan penjawat awam) serta Seksyen 353 (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam).
Jika sabit kesalahan, wanita itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara sehingga dua atau tiga tahun. – MalaysiaGazette
















