KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pendang (PN), Datuk Awang Solahuddin Hashim digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat selama 10 hari bermula hari ini susulan insiden mencabar rakan sejawat bergaduh di luar dewan pada Khamis lalu ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti bukti rakaman kejadian, selain menegaskan tindakan Awang Solahuddin dianggap menghina majlis mesyuarat mengikut Peraturan Mesyuarat 42(2).
“Saya yang mempengerusikan ketika insiden itu berlaku dan melihat sendiri apa yang terjadi. Kedua, apa yang saya kecil hati, galeri itu dipenuhi pelajar sekolah, that really take me back.
“Kita sedang bercakap bagaimana perlakuan anak-anak kecil kita di sekolah, bagaimana mereka tidak bersantun, tetapi kita sendiri depan budak-budak tunjuk macam-macam. Ia memberi contoh yang tidak baik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Johari turut menegaskan, agar semua Ahli Parlimen menjaga tata tertib perbahasan dengan tidak menggunakan kata-kata kesat atau label sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan, termasuk merujuk parti politik sebagai ‘parti sesat’ atau mengkafirkan ahli lain.
“36(10)(c) jelas jangan bermusuhan antara sama kita, walaupun ada Ahli Yang Berhormat telefon dan jumpa saya, mereka kata boleh ini tak boleh,” ujarnya.
Dalam Insiden pada perbahasan 13 Ogos lalu, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN), ketika berpantun menyindir Kuala Lumpur yang didakwa bermasalah kerana ditadbir DAP dan Pakatan Harapan (PH).
Kenyataan itu mencetuskan bantahan Ahli Parlimen kerajaan, RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(1) kerana Hadi tidak menyentuh perkara berkaitan RMK13 dalam ucapannya.
Keadaan menjadi tegang apabila Awang Solahuddin didakwa membuat isyarat mencabar bergaduh selepas membangkitkan isu kegagalan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menyalurkan bantuan. – MalaysiaGazette
















