KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menjangkakan landskap politik negara bakal memasuki fasa yang lebih aman menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata demikian susulan pengumuman Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pembangkang telah berjaya menubuhkan satu gabungan longgar melibatkan 12 parti politik.
“Ini adalah perkembangan yang positif dalam demokrasi Malaysia bagi menghadapi PRU16 yang dijangka berlangsung dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
“Gabungan longgar 12 parti pembangkang yang diketuai oleh Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin akan berdepan 18 buah parti politik yang mendukung kerajaan Madani di peringkat persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri sekarang Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hassan, kewujudan dua blok besar ini akan mewujudkan suasana politik yang lebih stabil dan aman.
Beliau menjelaskan, gabungan pembangkang itu merangkumi parti Melayu, Islam dan Bumiputera seperti Bersatu, Pas, Pejuang serta Putra.
Ia turut dianggotai parti pelbagai kaum seperti Gerakan, MIPP, PPP, Iman, Urimai, selain parti progresif tidak berasaskan kaum seperti Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
“Dengan gabungan parti-parti pembangkang ini merangkumi semua kaum dan agama maka masing-masing akan meninggalkan retorik dan naratif politik kaum serta agama yang sempit.
“Semuanya akan memilih jalan tengah yang lebih sederhana dalam pendekatan politik mereka,” jelasnya.
Dalam masa sama, Hassan menegaskan kerajaan Madani yang dipimpin Anwar sejak November 2022 juga merupakan kerajaan pelbagai kaum dan agama yang paling inklusif sejak Merdeka, melibatkan parti dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Katanya, walaupun kerajaan Madani memiliki majoriti lebih dua pertiga di Parlimen, pembangkang turut mempunyai jumlah ahli Parlimen yang besar dan berpengaruh.
“Hanya kelebihan yang ada bagi gabungan kerajaan Madani ialah ia lebih mantap dan teruji, manakala gabungan 12 parti pembangkang masih longgar dan di peringkat percubaan,” katanya.
Namun beliau memberi amaran, sekiranya pembangkang berjaya membina naratif politik nasional berasaskan isu ekonomi, tatakelola, rasuah serta kos sara hidup, manakala parti-parti dalam kerajaan sibuk berbalah, ia bakal memberi kesan buruk kepada Pakatan Harapan menjelang PRU16.
“Resepi politik kerajaan Madani yang menekankan keadilan sosial untuk semua rakyat memberi kelebihan kepada mereka.
“Tetapi perbalahan sia-sia antara Pemuda UMNO dan Pemuda DAP mesti didamaikan segera sebelum rakyat muak kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim,” tegasnya.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN hari ini berkata langkah membentuk gabungan longgar itu adalah tindakan pertama diambil sebelum diikuti dengan keputusan lain kemudian.
Antara lain, katanya, mereka akan berbincang dengan kumpulan masyarakat seperti peniaga, penguasaha, dan kumpulan tertentu bagi mendekati masalah yang mereka hadapi serta mencadangkan pendekatan tertentu untuk diambil kerajaan.
Antara pemimpin kanan pembangkang yang turut hadir bersama Muhyiddin hari ini ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali. – MalaysiaGazette
















