SEOUL – Penyanyi dan personaliti televisyen, Kim Jong – kook mengumumkan akan berkahwin tidak lama lagi.
Menerusi sepucuk surat tulisan tangan yang dimuat naik di forum rasmi peminatnya hari ini, bintang Running Man itu memaklumkan, majlis perkahwinan beliau akan berlangsung secara tertutup di Seoul.
“Saya akan berkahwin. Walaupun telah cuba memberi banyak bayangan namun berita ini mungkin akan mengejutkan ramai perminat.
“Majlis ini akan dihadiri keluarga dan rakan rapat,” katanya.
Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau meraikan 30 tahun dalam bidang hiburan.
Jong-kook mula mencipta nama sebagai anggota duo Turbo pada tahun 1995, sebelum bergerak secara solo sebagai penyanyi dan akhirnya meraih anugerah Artis Terbaik daripada ketiga-tiga stesen penyiaran utama Korea pada 2005 — menjadikannya artis kedua yang mencapai kejayaan tersebut sejak 1980-an.
Peminat luar negara mengenali beliau melalui program Running Man terbitan SBS, di mana beliau menjadi anggota tetap sejak 2010.
Rancangan variasi itu menjadi fenomena global, khususnya di Asia, dengan tubuh sasa dan sikap tegas Kim menjadikannya salah seorang personaliti paling dikenali.
Saluran YouTube beliau yang berfokus kepada kecergasan, Gym Jong Kook, juga telah mengumpul 3.2 juta pelanggan sejak dilancarkan pada 2021.
Identiti bakal isteri beliau tidak didedahkan. Pada Mei lalu, Jong- kook membeli sebuah apartmen mewah di Gangnam, Seoul, yang kemudian dirujuknya sebagai “rumah pengantin baru” ketika muncul dalam sebuah rancangan variasi pada Jun, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai perkahwinan yang bakal berlangsung. -AGENSI
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















